Mahkamah Agung arah Thaksin dipenjara setahun
BANGKOK – Mahkamah Agung Thailand hari ini memerintahkan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, dipenjara selama setahun.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah memutuskan beliau tidak menjalani hukuman penjara 2023 dengan sewajarnya kerana dimasukkan di hospital, lapor The Straits Times.
Thaksin, 76, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa selepas pulang ke negara itu pada Ogos 2023, selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan.
Beliau bagaimanapun tidak pernah bermalam di dalam sel penjara, sebaliknya terus dibawa ke bilik hospital swasta, sebelum hukumannya dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja, dan kemudian dibebaskan awal menerusi skim pembebasan untuk banduan warga emas.
“Penempatan tertuduh di hospital adalah tidak sah, tertuduh sedar bahawa penyakitnya bukan kes kecemasan, dan tempoh berada di hospital tidak boleh dikira sebagai menjalani hukuman penjara,” menurut keputusan yang dibacakan oleh hakim.
Mahkamah turut mengarahkan waran tangkap dikeluarkan bagi membawa Thaksin ke Penjara Reman Bangkok untuk mula menjalani hukuman penjara setahun.
Thaksin kemudian dilihat menanggalkan jaketnya di mahkamah sebelum masuk ke dalam van Jabatan Penjara.
Dalam satu kenyataan di Facebook, tokoh perniagaan itu berkata beliau menerima keputusan tersebut dan akan terus tabah.
“Hari ini, mungkin saya tidak lagi memiliki kebebasan, namun saya masih memiliki kebebasan berfikir untuk mencipta manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








