Cadangan tambah pemerhati gencatan senjata bukan campur tangan – Anwar
KUALA LUMPUR – Cadangan Malaysia untuk menambah bilangan pemerhati antarabangsa dalam memantau proses gencatan senjata Thailand-Kemboja tidak wajar dianggap sebagai campur tangan luar, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, langkah itu hanya bertujuan mengatasi masalah kekurangan pemantau di lapangan yang dilihat boleh menjejaskan keberkesanan proses pemantauan.
“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pegawai pertahanan atau kedutaan ASEAN untuk menyokong program ini.
“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya.
Sebelum ini, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menolak cadangan Anwar untuk menambah bilangan pemerhati antarabangsa, dengan alasan tugas itu sepatutnya dilaksanakan oleh Pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT).
Thailand turut menegaskan konflik sempadan berkenaan membabitkan urusan dua negara sahaja dan tidak membenarkan sebarang bentuk campur tangan asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








