JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Setiausaha Sulit menteri dipenjara enam tahun, denda RM8.8 juta

KUALA LUMPUR – Seorang bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta, pada 2018 lalu.

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah, di akhir kes pembelaannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara selama tujuh tahun.

Mendengar keputusan itu, Mohd Saifullah, 34, yang memakai kot biru menangis teresak-esak ketika berada di kandang tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan dibuat.

Mahkamah kemudiannya menaikkan jumlah ikat jamin kepada RM280,000 dengan syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1.765 juta daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).

Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020’ secara rundingan terus kepada sebuah lagi syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi, sekitar Kuala Lumpur dan Dengkil antara 21 Disember 2018 dan 1 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button