Bakar lori tunda MBJB, penganggur dipenjara lima tahun, denda RM6,000
JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dihukum penjara lima tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan khianat dengan membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) , minggu lalu.
Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam masih mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Wan Muhammad Nasrul dibawa semula ke mahkamah hari ini bagi mendengar hukuman terhadapnya selepas mahkamah menangguhkan prosiding semalam bagi membolehkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dimainkan di mahkmah.
Ketika membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai wang kerana baharu cuba untuk memulakan kerja.
“Betul, saya yang bakar. Saya dalam keadaan marah sebab kereta ditarik.
“Saya dah minta pengecualian, daripada RM500 jadi RM250, kalau RM200 pun saya tak ada duit nak bayar.
“Saya orang susah, banyak komitmen yang saya perlu tanggung. Hutang banyak, kereta, motosikal dan rumah. Saya belum kahwin, saya baharu nak mulakan kerja,” katanya.
Tertuduh memberitahu, keretanya ditarik pada malam sebelum kejadian dan diminta membuat rayuan.
“Saya nak jumpa Datuk Bandar MBJB, tetapi Datuk Bandar tiada. Saya tak mampu bayar, mahal sangat.
“Saya dah tunggu dari malam. Saya cuma nak kereta saya sahaja. Itulah yang saya marah sangat. Saya harap hakim dapat meringankan hukuman saya,” katanya.
Bagaimanapun Siti Fatimah menjelaskan dalam hujahnya, walaupun tertuduh memberi alasan tidak mampu dan berada dalam keadaan marah, namun perbuatan membakar lori tunda di kawasan awam itu jelas boleh menjejaskan keselamatan bukan sahaja harta benda lain di lokasi kejadian, tetapi orang awam serta kakitangan yang berada di Depoh Simpanan Kenderaan MBJB.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






