FIFPRO anggap hukuman FIFA terhadap tujuh pemain Malaysia terlalu berat
KUALA LUMPUR – Persekutuan Pemain Profesional Dunia (FIFPRO) menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain yang memohon kelayakan untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
FIFPRO berkata, hukuman itu sebagai “terlalu berat dan tidak seimbang” memandangkan kesemua pemain terbabit bukanlah pihak yang bersalah, sebaliknya mangsa keadaan.
Menurut badan itu, keputusan FIFA sendiri mengesahkan bahawa tujuh pemain berkenaan tidak memalsukan sebarang dokumen, malah mengakui bahawa dokumen yang mereka kemukakan adalah tulen.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain terperangkap dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang dokumen yang mungkin dipalsukan bukan dilakukan oleh individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
FIFPRO turut berkata, pemain tidak mempunyai saluran atau kuasa untuk mendapatkan pengesahan kelayakan secara rasmi daripada FIFA secara individu, dan perkara itu juga tidak diwajibkan dalam peraturan semasa.
“Lebih membimbangkan, hukuman tersebut seolah-olah meletakkan beban ke atas pemain untuk mengesahkan dokumen yang bukan mereka keluarkan atau hantar.
“Tujuh pemain ini telah mengikuti prosedur ditetapkan. Mereka menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport kerajaan dan menunggu proses kelulusan kelayakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya lagi.
FIFPRO berkata, semua proses berkaitan kelayakan pemain melibatkan institusi luar kawalan mereka.
“Namun, para pemain kini berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing serta kesan serius terhadap karier mereka tanpa kesalahan yang mereka lakukan,” katanya lagi.
Badan itu menegaskan sokongan penuh kepada tujuh pemain terbabit dan yakin bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan keputusan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








