Malaysia sedia kerjasama dengan Jepun bangunkan industri nadir bumi berdaya saing
KUALA LUMPUR – Malaysia sedia memperkukuh kerjasama dengan Jepun dalam pembangunan unsur nadir bumi, mineral penting dan sektor berkaitan mineral yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan dan pelaburan Jepun dalam semua peringkat rantaian industri daripada penerokaan huluan dan aktiviti perlombongan mampan sehinggalah kepada proses penapisan, pengasingan, serta pengeluaran produk bernilai tinggi yang menggunakan teknologi Jepun, lapor BERNAMA.
“Kerjasama ini juga boleh diperluas kepada inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama bagi meningkatkan inovasi serta kemajuan teknologi dalam sektor berkenaan,” kata Anwar pada mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.
Takaichi yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik Jepun dilantik sebagai perdana menteri Selasa lepas sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama negara itu.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menegaskan semula komitmen Malaysia memperkukuh perkongsian dua hala di semua peringkat bagi meningkatkan lagi kerjasama serta persefahaman antara kedua-dua negara.
Selain itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jepun atas sokongan dan bantuan berterusan kepada badan serantau berkenaan sejak 1973, khususnya terhadap komitmen tidak berbelah bahagi dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN.
Perdana Menteri berkata, kemajuan memberangsangkan yang dicapai di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif yang merangkumi lima bidang utama iaitu keamanan dan keselamatan; kemakmuran ekonomi; sains dan teknologi, inovasi serta alam sekitar; masyarakat, kebudayaan dan pertukaran antara rakyat; serta kerjasama serantau dan global.
Sementara itu, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Jepun atas sumbangan melalui Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) yang merangkumi 14 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), dua lori pembersih jalan dan tujuh bot penyelamat bernilai RM12.63 juta, dijadual diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.
Mengulas situasi di Palestin, Anwar turut mengiktiraf bantuan Jepun melalui Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








