BERITA SEMASA

Tiada undang-undang baharu ganti AUKU yang sekat kebebasan mahasiswa – Anwar

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan mana-mana undang-undang baharu yang menyekat kebebasan mahasiswa.

Anwar berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan hak, idealisme dan aktiviti mahasiswa di kampus tidak lagi dibatasi oleh undang-undang yang secara khusus menyasarkan golongan berkenaan.

anwar ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

“AUKU mesti dimansuhkan sepenuhnya.

“Ada kebimbangan bahawa selepas AUKU dimansuhkan, akan diwujudkan undang-undang baharu yang turut menyekat mahasiswa. Saya tidak akan benarkan perkara itu berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani sebarang kesalahan jenayah tanpa perlu mewujudkan akta khusus yang mengawal kebebasan mahasiswa.

Anwar berkata, pendirian tersebut akan ditegaskan sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.

Semalam, beliau mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan AUKU selepas mengakui masih terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan mahasiswa walaupun akta itu telah beberapa kali dipinda sebelum ini.

“Apa yang penting ialah kita memberi ruang kepada mahasiswa untuk berfikir, bersuara dan terlibat dalam aktiviti yang membina tanpa sekatan yang tidak munasabah,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini berkata, kerangka perundangan baharu yang bakal diperkenalkan perlu bersifat menyeluruh dan berpandangan jauh.

Menurutnya, AUKU bukan sahaja mengawal hal ehwal mahasiswa, malah menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti di negara ini.

Justeru, sebarang perubahan perlu mengambil kira semua aspek berkaitan pengurusan institusi pengajian tinggi bagi memastikan kelangsungan sistem pendidikan tinggi negara terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button