BERITA SEMASA

PKR desak kerajaan kutuk kebiadaban menteri Israel ceroboh Al-Aqsa

KUALA LUMPUR – Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan Malaysia mengutuk secara terbuka dan tegas tindakan biadab Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa sambil melakukan ritual Talmudik serta nyanyian dan tarian, Ahad lalu.

Pengarahnya, Dr Maszlee Malik berkata, rejim Zionis perlu ditekan untuk menghormati kesucian tapak agama Islam dan mematuhi obligasi antarabangsa.

Katanya, kerajaan bersama negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar mendesak pelaksanaan sekatan bersasar terhadap rejim Israel serta kumpulan pendatang haram terlibat termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.

“Kerajaan juga perlu menggunakan pengaruh diplomatik bagi menyokong siasatan antarabangsa ke atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan dasar genosid yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maszlee turut mengecam tindakan provokatif Ben-Gvir yang disifatkannya sebagai hasutan politik dan keagamaan melampau serta mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Insiden itu adalah kali pertama seorang menteri kanan Israel secara terbuka mengetuai pencerobohan seperti itu yang turut mencetuskan kecaman global. Ia jelas bertujuan mengubah status sejarah dan perundangan tapak suci umat Islam,” katanya.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Ben-Gvir mengetuai sekumpulan besar pendatang Yahudi menceroboh kompleks Al-Aqsa sempena perayaan Yahudi Tisha B’Av.

Maszlee berkata, mengikut Konvensyen Geneva Keempat, kuasa pendudukan wajib melindungi warisan budaya dan agama wilayah yang didudukinya.

“Baitulmaqdis Timur termasuk Masjid Al-Aqsa diiktiraf sebagai wilayah diduduki secara haram. Justeru, tindakan Ben-Gvir yang dilindungi polis rejim adalah pelanggaran nyata yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, OIC turut mengecam tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha sistematik rejim Zionis untuk menulis semula sejarah dan menguasai kawasan suci secara de facto.

“Pada masa sama, kekejaman tentera Israel di Gaza terus meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin termasuk dalam insiden tembakan rambang dan kematian akibat kebuluran.

“Pada hari yang sama Ben-Gvir menceroboh Al-Aqsa, seramai 33 mangsa terbunuh ketika beratur mendapatkan bantuan makanan manakala enam lagi termasuk kanak-kanak maut akibat kebuluran,” katanya.

Menurutnya lagi, peningkatan drastik keganasan oleh peneroka haram di Tebing Barat termasuk pengusiran dan penangkapan rakyat Palestin turut dikutuk Kementerian Luar Negeri Palestin sebagai sebahagian dasar kolonial dan perkauman rejim Zionis untuk menghapuskan kehadiran rakyat Palestin di Al-Quds dan wilayah bersejarah mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button