Dakwaan MP PKR tarik sokongan pada PM hanya strategi murahan, tidak bertanggungjawab
DALAM dunia politik yang semakin mencabar dan sarat dengan kepentingan peribadi, pelbagai taktik digunakan demi mencapai matlamat terutamanya untuk memberi impak buruk kepada parti lawan.
Antaranya adalah dengan menyebar berita atau maklumat tidak berasas yang jika tidak disaring atau ditapis dapat mempengaruhi persepsi. Lebih buruk, ia mencetuskan kekeliruan dan kegusaran ramai.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, dalam ledakan teknologi komunikasi yang berkembang pantas, penyebaran berita palsu dan fitnah sudah menjadi senjata utama bagi lawan politik.

Katanya, tanpa pertimbangan atau tanggungjawab, strategi murahan seperti itu tetap menjadi pilihan sesetengah pihak dalam mencapai objektif mereka.
“Penyebaran berita palsu bukan sahaja menggugat kestabilan kerajaan, malah boleh melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi itu sendiri.
“Ia terbukti berkesan kerana ramai yang menerima maklumat tanpa memeriksa kesahihannya terlebih dahulu,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan 11 Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Katanya, ketika rakyat ‘berperang’ keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu dan situasi politik yang tidak pernah reda, berita seumpama itu seolah-olah ‘menambah garam pada luka’.
“Rakyat sudah lelah dan lesu dengan berita-berita politik yang berpanjangan. Kita sepatutnya bergerak ke hadapan dalam mendepani pelbagai cabaran rakyat terutamanya dari segi kos sara hidup, pendidikan, perniagaan dan ekonomi.
“Tambahan pula, banyak yang sedang berlaku di peringkat serantau dan global,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Secara prinsipnya kata Dr. Sivamurugan, sebagai individu yang dipilih rakyat, wakil rakyat yang baik tidak sewajarnya bertindak demikian sebaliknya perlu menghormati mandat yang diamanahkan.
“Gerakan politik tidak sepatutnya dicapai dengan mempermainkan amanah atau menarik sokongan secara tiba-tiba.
“Kalau mahu lakukan perubahan, lakukan semasa pilihan raya. Itu jalan demokrasi yang sebenar,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pihak media dan platform penyiaran supaya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.
“Jika berita tidak sahih, ia mesti ditarik balik segera. Kita ada undang-undang, tetapi kalau tidak dilaksanakan, apa gunanya?” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Perdana Menteri sendiri, perlu memainkan peranan penting dengan meneruskan kestabilan politik.
“Walaupun sukar mengawal semua tindakan ahli politik, prinsip demokrasi dan mandat rakyat perlu terus dijunjung tinggi.
“Dalam hal ini, rakyat juga tidak terkecuali daripada tanggungjawab.
“Setiap individu harus berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang maklumat, lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang sensitif,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memuat naik status tular berkaitan 11 Ahli Parlimen PKR yang didakwa menarik sokongan sebagai palsu.
“Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi. Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Dr. Sivamurugan turut menyimpulkan bahawa isu tular yang sengaja didendang mengikut kepentingan politik itu mengingatkan kita bahawa demokrasi bukan sekadar tentang pilihan raya.
“Ia adalah tentang amanah, integriti dan tanggungjawab bukan hanya di pihak pemimpin, tetapi oleh seluruh warga negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








