Tengku Zafrul keluar UMNO, mahu sertai PKR
KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat keputusan mengejutkan apabila melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam UMNO.
Menurutnya dalam satu kenyataan, susulan peletakkan jawatan itu, beliau menyatakan niat untuk menyertai PKR.
“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO. Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden sendiri.
“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.
Mengulas mengenai hasrat menyertai PKR, katanya, beliau telah menyatakan perkara itu kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR.
“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR.
“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif di dalam UMNO.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








