Rafizi sedia keluar Kabinet jika gagal pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung bulan ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, tugas sebagai wakil rakyat akan tetap diteruskan dan beliau bebas untuk berbicara dalam apa sahaja perkara.
“Saya sudah bercakap dengan rakan-rakan saya dalam kerajaan, termasuk mereka dari GPS dan Barisan Nasional dan menjamin bahawa pertandingan dalaman ini tidak akan mengganggu pentadbiran.
“Tidak akan ada huru-hara, tidak ada kekacauan dan tiada ancaman kepada kestabilan. Jika kalah, saya akan berundur.
“Saya akan teruskan sebagai Ahli Parlimen biasa. Tanpa beban tanggungjawab menteri, saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranan di Parlimen saya,” katanya pada podcast Yang Bakar Menteri hari ini.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sudah mengesahkan pencalonannya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, sekali gus mencabar kedudukan nombor dua parti itu daripada Rafizi.
Tegas Rafizi, sama ada beliau bertanding atau tidak dalam pemilihan parti bukan satu isu besar, kerana tumpuan utamanya kini adalah memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Apa pun keputusannya, peranan yang dipegang sekarang harus diutamakan dan siapa yang kerajaan akan hadapi pada PRU16 kali ini.
“Kalau saya tidak jadi menteri, saya ada banyak masa dan boleh kalahkan Datuk Seri R Ramanan. Saya boleh buat lebih lagi dan tumpu kepada kepada beberapa perkara berbanding ketika menjadi menteri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








