Fadhlina turun padang, santuni warga pendidik di Taiping
TAIPING – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini menghadiri program Sarapan Komuniti Bersama Menteri di Restoran Jalan Dua @ Keronchong, Jalan Kamunting sebagai sebahagian daripada siri lawatan kerjanya di daerah ini.
Program yang bermula jam 8.30 pagi itu turut dihadiri ahli jawatankuasa PKR Cabang Taiping, Bukit Gantang dan Larut selain pengetua-pengetua sekolah sekitar Larut, Matang dan Selama.

Pertemuan santai itu memberi peluang kepada masyarakat serta warga pendidik menyuarakan isu dan cadangan secara langsung kepada kementerian.
Ketua Cabang PKR Taiping, Ahmad Zahid Khalid berkata, pertemuan sebegini amat bermanfaat kerana membolehkan maklumat serta permasalahan di peringkat akar umbi disalurkan terus kepada menteri.

“Kami berterima kasih atas kesudian Menteri mendengar sendiri suara rakyat dan warga pendidik.
“Harapan kami, program sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan isu pendidikan di Taiping terus diberi perhatian,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Selepas sesi sarapan komuniti, Fadhlina meneruskan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin pada jam 2 petang untuk meninjau perkembangan sekolah tersebut.
Pada sebelah petang, beliau turut melawat Sekolah Al-Ummah di Assam Kumbang sebelum menghadiri sesi Hi-Tea di Maahad Al-Khair Lil Banat, Kamunting pada jam 4 petang.
Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Pendidikan Malaysia, Abu Seman Mat Karim.
Siri lawatan kerja itu dilihat sebagai komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk mendekati rakyat dan memastikan kebajikan warga pendidik tidak dipinggirkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








