PKR akan kenakan tindakan ke atas Rafizi sekiranya ada aduan – Dr Fuziah
JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan hanya mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli sekiranya terdapat sebarang aduan rasmi dikemukakan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sebarang aduan perlu disalurkan kepada Lembaga Disiplin PKR.
“Sekiranya ada aduan, ia perlu disalurkan kepada Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin yang akan menilai dan mengambil tindakan,” katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan 2026 di Bazar Ramadan Rahmah, Perling, di sini hari ini.
Ahad lalu, beberapa bekas menteri dan ahli Parlimen PKR termasuk Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Rodziah Ismail menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
Dalam himpunan itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berucap dengan lantang mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipecat berhubung isu pemilikan saham.
Susulan itu, tindakan PKR yang berdiam diri mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin dari Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan Isnin lalu berkata, Lembaga Disiplin PKR perlu mencontohi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani memecat timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana melanggar etika parti.
“Kalau Muhyiddin berani memecat Hamzah dan yang lain kerana kesalahan melanggar etika parti, saya ingin bertanya sama ada PKR tidak berani bertindak seperti BERSATU yang selamba sahaja memecat ahli-ahlinya yang melanggar etika dan disiplin parti.
“Saya ingin melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR bertindak ke atas Rafizi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








