Fadhlina arah siasatan menyeluruh semua aspek di bawah KPM
PUTRAJAYA – Semua aspek di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) akan disiasat secara menyeluruh susulan kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ini termasuk menyemak rekod kehadiran pelajar semasa kelas tambahan, langkah keselamatan sekolah dan kawalan rondaan, dengan syarikat keselamatan turut diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam semakan berkenaan.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.
“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina turut memberitahu, beliau berada di Yong Peng untuk mendapatkan sendiri maklumat terkini mengenai insiden itu, telah menerima taklimat daripada pihak polis, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan pihak sekolah berhubung kronologi serta tindakan yang telah diambil.
“Saya turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak sudah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Fadhlina kemudiannya menambah, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang kecuaian atau kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab.
“Pada masa yang sama, kementerian tidak akan mendahului siasatan polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada pelajar dan warga sekolah yang terkesan dengan insiden ini,” katanya.
Beliau kemudiannya menggesa orang ramai supaya memberikan ruang kepada keluarga mangsa dan menghormati siasatan yang sedang dijalankan, sambil menegaskan bahawa kebenaran mesti ditegakkan berdasarkan fakta dan bukannya spekulasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







