Polis sahkan penemuan pistol, peluru hidup dalam kotak di Pantai Robina
BUTTERWORTH – Polis mengesahkan penemuan sebuah kotak berisi sepucuk pistol bersama kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di dalamnya di persisiran Pantai Robina di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Balai Polis Telok Ayer Tawar dihubungi seorang pemancing mengenai penemuan kotak itu pada puku 4.30 pagi tadi.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota penyiasat dengan dibantu Unit Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, digerakkan ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Kotak itu didapati mengandungi sepucuk pistol berserta kelopak peluru dan peluru hidup yang kemudian dirampas untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati peluru hidup berkenaan dibalut dengan kertas majalah. Kesemuanya dianggarkan ada sebanyak 67 butir peluru pelbagai jenis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah memberitahu, polis sedang mengesan suspek terlibat.
Tambahnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terbabit aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah, boleh menyalurkannya melalui Hotline Bilik Gerakan Negeri, Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang (04-2221624) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





