PMX

Anwar seru rakyat tolak prasangka kaum, bina Malaysia bersama

MELAKA – Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara yang besar sekiranya rakyat terus terperangkap atau terheret dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kekuatan negara terletak pada kesediaan rakyat menerima hakikat bahawa semua kaum dan kelompok masyarakat adalah sebahagian daripada satu keluarga besar yang berkongsi tanah air serta masa depan sama.

“Malaysia tidak akan menjadi negara yang besar sekiranya kita terus terperangkap atau terheret dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit.

“Saya tegaskan bahawa kekuatan negara ini terletak pada kesediaan kita menerima hakikat bahawa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada satu keluarga besar yang berkongsi tanah air dan masa depan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-41 di Melaka semalam.

Anwar berkata, perkara itu selari dengan Wa’ad Malaysia yang menjadi janji dan ikrar untuk mempertahankan hak setiap rakyat, selain menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing.

“Inilah Wa’ad Malaysia bahawa janji dan ikrar kita untuk mempertahan hak setiap rakyat, menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing, serta memastikan tiada sesiapa berasa tersisih di bumi sendiri,” katanya.

Menurut beliau, kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia bukan kelemahan, sebaliknya merupakan khazanah dan kekuatan negara.

“Kepelbagaian bukan kelemahan kita. Ia khazanah dan kekuatan Malaysia. Kita harus menyuburkannya sambil bersama-sama membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah, kukuh perpaduannya dan berani melangkah sebagai satu bangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button