BISNES & EKONOMI

Lion Parcel perluas operasi antarabangsa, buka pusat operasi pertama di Malaysia

SUBANG JAYA – Penyedia perkhidmatan logistik berpangkalan di Indonesia, Lion Parcel, membuka pejabat antarabangsa pertamanya di Subang Jaya, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama syarikat itu dalam pengembangan ke peringkat antarabangsa.

Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama berikutan kedudukannya yang strategik sebagai hab serantau, selain berpotensi memperkukuh hubungan logistik antara Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Lion Parcel, Farian Kirana berkata, Malaysia menjadi langkah penting dalam perjalanan antarabangsa syarikat itu, khususnya menerusi potensi ekosistem Lion Group dan hubungan udara Batik Air Malaysia.

“Malaysia adalah langkah pertama yang penting dalam perjalanan antarabangsa Lion Parcel. Kami melihat peluang besar untuk mengoptimumkan ekosistem Lion Group, khususnya hubungan udara Batik Air Malaysia.

“Ini memberikan rakan niaga Lion Parcel akses kepada rangkaian antarabangsa yang lebih luas. Selain itu, infrastruktur kargo yang disokong oleh Pengendali Terminal Kargo (CTO) Batik Air Malaysia turut mengukuhkan infrastruktur operasi Lion Parcel, membolehkan proses lebih cekap supaya bungkusan dapat dihantar dengan lebih pantas dan selamat,” katanya.

lion parcel
Pembukaan pejabat Lion Parcel di Subang Jaya memperkukuh hubungan logistik antara Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain.

Farian berkata, asas berkenaan membolehkan Lion Parcel menyediakan akses lebih luas kepada perniagaan dan komuniti terhadap hubungan logistik, sekali gus membantu mereka memindahkan barangan dengan lebih cekap merentasi pasaran dan mencapai peluang lebih luas.

“Dengan asas ini, kami mahu menyediakan perniagaan dan komuniti akses lebih luas kepada hubungan logistik, membantu mereka memindahkan barangan dengan lebih cekap merentasi pasaran dan mencapai peluang yang lebih besar.

“Atas sebab itu, kami mahu hadir bukan sekadar sebagai penyedia perkhidmatan logistik, tetapi juga sebagai pemudah cara dalam ekosistem, menghubungkan perniagaan kepada lebih banyak peluang ketika mereka berkembang,” katanya.

Ketua Negara Lion Parcel Malaysia, Alvin Williams berkata, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai pasaran penting, malah lokasi strategik dalam perkembangan landskap logistik serantau.

“Malaysia mempunyai peranan penting dalam pembangunan hubungan logistik serantau, khususnya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kargo udara dan pemindahan barangan serantau.

“Bagi kami, keadaan ini mewujudkan peluang untuk menghubungkan perkhidmatan logistik dengan rangkaian kargo udara yang lebih luas serta menyokong pergerakan barangan antara Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain,” katanya.

Lion Parcel Malaysia ketika ini menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan perniagaan dan runcit, termasuk penghantaran antarabangsa ke destinasi yang diliputi rangkaian penerbangan Lion Group.

Kehadiran syarikat itu turut disokong ekosistem Lion Group, termasuk hubungan udara menerusi Batik Air Malaysia yang kini menyediakan perkhidmatan ke lebih 60 destinasi di 20 negara, meliputi pasaran utama Asia Tenggara, China, India, Australia dan destinasi serantau lain.

lion parcel
Majlis perasmian pejabat antarabangsa pertama Lion Parcel di Subang Jaya yang menandakan langkah sulung syarikat itu dalam pengembangan ke pasaran antarabangsa.

Lion Parcel akan memanfaatkan rangkaian penerbangan berkenaan dalam pembangunan operasinya, selain memperluas hubungan penghantaran antara Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain.

Syarikat itu turut mendapat sokongan Pengendali Terminal Kargo (CTO) kendalian Batik Air Malaysia yang terletak di Kampung Kargo KLIA, Selangor.

Infrastruktur kargo bersepadu itu membantu mempercepatkan proses penghantaran menerusi pengangkutan udara, selain menyokong perkhidmatan penghantaran antarabangsa yang lebih selamat dan cekap.

Sebagai pasaran antarabangsa pertama Lion Parcel, Malaysia menjadi langkah awal kepada pengembangan lebih luas syarikat itu, dengan syarikat terus meneroka peluang memperluas hubungan dan kerjasama bersama rakan kongsi di pelbagai pasaran.

Ditubuhkan pada 2013, Lion Parcel menyediakan penyelesaian logistik bersepadu merangkumi perkhidmatan peringkat penghantaran awal, pertengahan dan akhir bagi penghantaran domestik serta antarabangsa.

Ketika ini, perkhidmatan Lion Parcel meliputi sehingga 99 peratus kawasan di Indonesia dan lebih 50 negara di lima benua, disokong ribuan ejen, kurier penghantaran, armada logistik serta akses kepada ratusan pesawat Lion Group.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button