Jakarta haramkan penjualan daging kucing, anjing
JAKARTA – Pihak berkuasa Jakarta memutuskan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan pengambilan daging anjing, kucing dan kelawar, sekali gus menamatkan amalan kontroversi yang sekian lama menjadi perhatian aktivis hak haiwan.
Gabenor Jakarta, Pramono Anung, dalam kenyataan di media sosial berkata, beliau sudah menandatangani peraturan melarang penjualan haiwan pembawa rabies bagi tujuan makanan.
“Larangan meliputi haiwan hidup, daging, atau produk lain sama ada mentah atau diproses. Selain turut mengekang sebarang aktiviti berkaitan… haiwan pembawa rabies yang bertujuan untuk makanan,” katanya.
Penyakit rabies atau Hydrophobia merupakan virus yang sangat berbahaya dan berpotensi membawa maut, menyerang sistem saraf pusat manusia serta mamalia.
Individu atau perniagaan yang melanggar arahan tersebut boleh dikenakan tindakan, bermula daripada amaran bertulis sehingga pembatalan lesen perniagaan.
Keputusan itu disambut sebagai kemenangan besar oleh kumpulan pencinta dan pejuang hak haiwan, memandangkan Indonesia antara negara yang masih membenarkan penjualan daging anjing dan kucing.
Penentangan terhadap amalan tersebut semakin meningkat dengan beberapa bandar sudah pun melaksanakan larangan serupa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








