Sri Mulyani digugurkan daripada jawatan satu jam selepas terima notis
JAKARTA – Bekas Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dilaporkan hanya menerima notis sejam sebelum digugurkan daripada jawatannya, kelmarin.
Laporan Reuters yang memetik sumber berkata, Sri Mulyani sedang mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan kementeriannya apabila menerima panggilan daripada pejabat Presiden Prabowo Subianto yang memaklumkan beliau akan digantikan.
Tidak sampai sejam kemudian, pengumuman rasmi dibuat bahawa ahli ekonomi Purbaya Yudhi Sadewa dilantik menggantikan beliau.
Kata sumber itu, Sri Mulyani, yang pernah berkhidmat di bawah tiga Presiden dalam dua tempoh berbeza sebagai Menteri Kewangan, dianggap sebagai antara tokoh penting yang mengekang janji-janji besar perbelanjaan Presiden Prabowo, termasuk program makanan percuma bernilai tinggi untuk 82.9 juta rakyat Indonesia.
Difahamkan, pendekatan berhati-hati Sri Mulyani sering bercanggah dengan agenda pertumbuhan besar Presiden Prabowo.
Sebagai contoh, projek makanan percuma itu sahaja dijangka menelan belanja AS$20.7 bilion (sekitar RM95.7 bilion) pada 2026, hampir dua kali ganda bajet tahun ini.
Sebaliknya, peruntukan kepada kerajaan tempatan dipotong bagi mengawal defisit fiskal.
Undang-undang fiskal Indonesia menetapkan defisit tidak boleh melebihi 3 peratus KDNK satu peraturan yang dihormati ketat semasa era Sri Mulyani, namun Prabowo sebelum ini menyatakan Indonesia mampu menanggung lebih banyak hutang demi pertumbuhan.
Hubungan antara kedua-duanya juga dilaporkan semakin renggang apabila komunikasi langsung semakin berkurangan.
Sumber berkata, Sri Mulyani hanya dilantik semula ke Kabinet tahun lalu selepas mendapat sokongan daripada tiga bekas Presiden bagi meyakinkan pasaran.
Namun, hingga saat penggugurannya, Sri Mulyani tetap menjalankan tugas seperti biasa.
Seorang sumber kerajaan mengesahkan beliau tidak meletakkan jawatan, sebaliknya diminta untuk berundur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








