Banjir kilat ‘tenggelamkan’ tapak lombong: 15 terkorban, misi mencari diteruskan
JAKARTA — Sekurang-kurangnya 15 mayat ditemukan pasukan penyelamat Indonesia susulan banjir kilat yang melanda sebuah kawasan perlombongan emas terpencil di Pergunungan Arfak, Papua Barat, dengan empat lagi masih dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari, kejadian itu berlaku di perkampungan Jim, daerah Catubouw pada 16 Mei lalu, selepas hujan lebat selama hampir tujuh jam tanpa henti.
“Mayat mangsa ditemukan secara berperingkat dalam tempoh beberapa hari. Lapan daripadanya telah dikenal pasti, manakala tujuh lagi masih menunggu proses pengecaman dan telah dihantar ke Hospital Polis Bhayangkara untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang pelombong pada awalnya dilaporkan hilang ditemui selamat di sebuah kampung berhampiran lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), pihak tentera, polis serta para sukarelawan.
Bagaimanapun, Abdul Muhari menjelaskan operasi menyelamat menghadapi pelbagai cabaran termasuk bentuk muka bumi yang sukar, arus sungai deras, cuaca tidak menentu serta kekurangan peralatan komunikasi.
“Suhu pada waktu malam yang rendah di kawasan pergunungan turut memberi tekanan kepada ketahanan fizikal anggota penyelamat yang bertugas,” jelasnya.
Insiden itu sekali lagi membuka mata banyak pihak terhadap risiko aktiviti perlombongan haram di kawasan cerun dan berbukit yang mudah terdedah kepada bencana alam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








