POLITIK

PKR tidak tetapkan tempoh cuti Nurul Izzah

AYER KEROH – PKR tidak menetapkan sebarang tempoh cuti Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, tempoh tersebut tidak tidak ditetapkan kerana beliau mahu menyambung pengajian.

“Setakat ini, kita tidak ada memberi had masa kepada Timbalan Presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajaran.

“Insya Allah, beliau akan meneruskan tugas apabila sudah bersedia,” katanya dalam sidang media selepas perasmian bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Fuziah berkata, Nurul Izzah hanya akan memulakan cuti selepas selesai melaksanakan tugasnya sepanjang kongres berkenaan.

“Beliau akan menyelesaikan tugas sewaktu kongres, maksudnya perasmian AMK dan Wanita, kemudian nanti dalam kongres, penggulungan dan sebagainya.

“Selepas itu baru Timbalan Presiden akan bercuti,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah tiba di MITC sekitar pukul 8.30 pagi tadi dan berucap selama hampir 30 minit bagi menyampaikan amanat kepada para perwakilan.

Beliau bagaimanapun enggan ditemui media selepas selesai ucapan perasmian sebelum meninggalkan lokasi sekitar pukul 11 pagi.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button