Remaja 17 tahun dilapor hilang, keluarga kesan lokasi terakhir di Chow Kit
KAJANG – Keluarga seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meminta bantuan orang ramai bagi mengesan anak mereka yang dilapor hilang sejak keluar dari kediaman mereka di Taman Jasmin, di sini semalam.
Ibunya, Rabiatul Adawiyah, 34, berkata, Farzanah Nabila dipercayai keluar dari rumah pada pagi semalam sebelum gagal dihubungi sehingga kini.
Menurutnya, tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mereka sebelum anaknya keluar dari rumah.
“Semua dalam keadaan baik dan tiada sebarang perselisihan faham sebelum dia keluar dari rumah.
“Saya sudah menghubungi kawan-kawan dan kenalan anak saya, namun tiada seorang pun yang mengetahui keberadaannya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Rabiatul berkata, usaha mengesan anaknya membawa kepada lokasi terakhir di Bangunan Kurnia Chow Kit, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4 pagi.
Katanya, dia sebelum itu mengaktifkan ciri perkongsian lokasi secara langsung (live location) pada telefon anaknya, namun lokasi berkenaan tidak lagi dapat dikesan selepas telefon dimatikan.
“Saya ada pasang live location di telefon anak saya sebelum ia dimatikan.
“Kami sangat risau dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya dapat membantu,” katanya.
Menurut Rabiatul, pihak keluarga turut mendapatkan bantuan pihak berkuasa dengan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Farzanah Nabila diminta menghubungi keluarga atau pihak polis bagi membantu usaha mengesannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








