Remaja tingkatan dua hilang selepas tinggalkan sekeping nota
KUANTAN – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas meninggalkan sekeping nota kepada ibunya yang memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk berdikari dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja terbabit, Mas Rayyan Riqqin Abdullah, daripada ibunya yang berusia 33 tahun, malam kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, ibu remaja berkenaan yang bekerja sebagai pengasuh menyedari ketiadaan anak sulungnya itu di rumah pada pukul 8 pagi, kelmarin.
“Hasil pemeriksaan di bilik remaja tersebut menemukan sekeping nota yang ditinggalkan.
“Dalam nota berkenaan, remaja itu menyatakan dia perlu membuat pilihan hidup, ingin mencari wang sendiri, berdikari dan memohon maaf kepada ibu bapanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ibu kepada remaja terbabit telah menghubungi beberapa rakan anaknya bagi mendapatkan maklumat namun tiada seorang pun yang mengetahui keberadaan Mas Rayyan.
“Remaja terbabit kali terakhir dilihat oleh ibunya pada pukul 10.30 malam ketika sedang menikmati makan malam di rumah,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu segera tampil dan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








