BERITA SEMASA

Keluarga rayu hentikan spekulasi kes bunuh lima beranak

KUALA LUMPUR – Keluarga kepada mangsa tragedi pembunuhan lima beranak di Taman Damai Indah, Cherating, Kuantan, tampil merayu orang ramai agar menghentikan penyebaran hantaran serta spekulasi berkaitan kejadian itu di media sosial.

Seorang wanita yang mendakwa kakak kepada mangsa menerusi akaun Threads, n.zahidah7 memohon agar pengguna platform berkenaan menurunkan sebarang perkongsian yang boleh menjejaskan privasi serta mengaibkan keluarganya.

Menurutnya, pelbagai andaian yang dibuat netizen hanya menambah luka dan tekanan kepada ahli keluarga yang sedang berdepan ujian berat.

“Saya berharap dan merayu agar warga Threads turunkan posting yang boleh mengganggu privasi dan mengaibkan keluarga kami.

“Jangan buat andaian kerana kita bukan berada di tempat mereka,” tulisnya.

Beliau menegaskan hanya keluarga mengetahui perkara sebenar di sebalik tragedi tersebut dan meminta orang ramai menghentikan spekulasi tidak berasas.

“Hanya mereka yang tahu kenapa tragedi ini berlaku. Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk arwah dan doakan saya terus kuat menghadapi ujian demi ujian ini. Hanya kepada Allah saya berserah,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi Selasa lalu di Taman Damai Indah, Cherating, lima sekeluarga ditemukan maut di dalam sebuah rumah.

Siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai menikam isteri, ibu serta dua anak perempuannya sebelum bertindak menikam diri sendiri.

Mayat lelaki berkenaan bersama isteri dan dua anaknya ditemukan di dalam bilik, manakala ibunya dijumpai tidak bernyawa di bahagian dapur rumah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button