JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pembunuhan Zayn Rayyan: Polis kesan hanya seorang suspek

KUALA LUMPUR – Hanya seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui mati berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan dan petunjuk kejadian, polis setakat ini mengesan seorang individu yang disyaki terlibat.

“Kita (polis) mengesan seorang individu dan percaya (kes ini melibatkan) seorang individu.

“Kita telah tengok semua sudut, pangkalan data polis serta melakukan tapisan secara besar-besaran dan berharap akan mendapat petunjuk positif sehingga boleh menangkap penjenayah ini,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Hussein mahu orang ramai tidak menimbulkan spekulasi dan memberi peluang kepada pihak polis untuk menumpukan siasatan di lokasi.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan para media tidak lagi dibenarkan berada di kawasan kediaman mangsa dipercayai untuk melancarkan siasatan.

Beberapa anggota forensik sebelum itu hadir menjalankan siasatan di lokasi berkenaan dipercayai sebagai usaha mengesan petunjuk baharu dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Polis turut menjalankan pemeriksaan di sebuah stor yang dijadikan tempat simpanan motosikal berdekatan salah sebuah blok di kawasan Apartment Idaman.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button