BERITA SEMASA

Pesawah boleh manfaat pembiayaan Agrobank, RM70 juta disalurkan tahun ini

KUALA LUMPUR – Pesawah yang memerlukan modal untuk memulakan musim penanaman padi digalakkan memanfaatkan kemudahan pembiayaan Agrobank bagi mengelakkan kebergantungan kepada pemberi pinjaman tidak rasmi.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, sebanyak RM70 juta telah disalurkan menerusi skim Agrobank yang dikenali sebagai Agro Padi-i Salam setakat tahun ini, dengan manfaat kepada kira-kira 7,500 pesawah.

Beliau berkata, skim berkenaan menyediakan pembiayaan dengan tempoh pembayaran balik enam bulan, bersesuaian dengan kitaran penanaman padi yang lazimnya mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, kemudahan itu diwujudkan bagi membantu pesawah mendapatkan modal tanpa perlu bergantung kepada pihak lain yang mungkin mengenakan syarat pembiayaan membebankan.

“Saya difahamkan ada pesawah terpaksa meminjam daripada pihak tertentu.

“Bagi saya, keadaan ini tidak adil kerana pinjaman sedemikian boleh mencengkam pesawah, sedangkan kita tidak mengetahui kadar keuntungan atau bunga yang perlu mereka bayar,” katanya pada sidang media khas di kilang padi Mukim Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Luqman berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pinjaman pesawah di agensi lain.

Justeru katanya, disebabkan itulah kerajaan mempunyai institusi kewangan khusus seperti Agrobank untuk membantu memenuhi keperluan pembiayaan sektor pertanian.

“Pinjaman di Agrobank adalah lebih sesuai untuk dibuat oleh pesawah kerana kita mengikut garis panduan atau peraturan yang telah dipersetujui oleh rakyat,” katanya.

Katanya, kemudahan itu terbuka kepada pesawah yang memenuhi syarat ditetapkan dan wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan tekanan kewangan ketika memulakan musim tanaman.

Beliau berkata, pendekatan pembiayaan melalui institusi kewangan juga membolehkan bantuan disalurkan menerusi mekanisme yang lebih tersusun, berbanding kerajaan memberikan peruntukan secara langsung tanpa mengambil kira keperluan dan kaedah pembayaran balik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button