BERITA SEMASA

Jangan hanya wartakan jelapang padi, selamatkan pesawah – Nurul Syazwani

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan usaha mewartakan kawasan jelapang padi turut disertai jaminan ekonomi kepada pesawah dan pemilik tanah, bukan sekadar mengekalkan keluasan kawasan tanaman padi.

ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara perlu mengambil kira nasib pesawah yang berdepan peningkatan kos pengeluaran serta risiko kerugian akibat faktor cuaca, penyakit dan serangan perosak.

Katanya, cadangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya kerajaan negeri mewartakan kawasan jelapang padi perlu dilihat bersama persoalan lebih besar mengenai kemampuan pesawah untuk terus mengusahakan sawah sebagai sumber pendapatan.

“Kalau kerajaan mahu menyelamatkan jelapang padi, siapa pula yang mahu menyelamatkan pesawah?

“Kita tidak boleh bercakap mengenai keterjaminan makanan negara tetapi pada masa sama membiarkan orang yang menghasilkan makanan hidup dengan pendapatan yang tidak terjamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nurul Syazwani berkata, pesawah kini berdepan pelbagai kos termasuk membajak, menuai, racun, baja, benih, diesel, sewaan tanah dan jentera, selain menanggung risiko banjir, kemarau, penyakit serta serangan perosak.

Menurutnya, apabila hasil tanaman merosot, pesawahlah yang terpaksa menanggung kerugian.

Beliau berkata, isu tekanan kos bukan perkara baharu dan kerajaan sendiri telah menyediakan pelbagai bentuk subsidi serta insentif bagi membantu golongan berkenaan.

Bagi 2026, KPKM memperuntukkan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan insentif pesawah, termasuk subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi dengan jumlah keseluruhan insentif dianggarkan RM4,300 sehektar semusim.

“Namun kita perlu berani bertanya, jika pelbagai bantuan telah diumumkan, mengapa pesawah masih mengeluh tentang pendapatan yang terlalu rendah dan kos pengeluaran yang semakin menekan?

“Ini menunjukkan masalah industri padi tidak boleh diselesaikan dengan pengumuman bantuan secara bermusim semata-mata,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu melihat kepada pendapatan bersih pesawah, bukan sekadar jumlah subsidi yang telah disalurkan.

Katanya, setiap cadangan pewartaan kawasan jelapang padi perlu disertai langkah memperbaiki struktur harga dan pulangan kepada pesawah berdasarkan kos semasa, kawalan kenaikan kos input serta jentera dan sistem pengairan serta saliran yang lebih baik.

Selain itu, katanya, perlindungan terhadap kerugian akibat bencana dan kegagalan tanaman serta insentif khas kepada pemilik tanah yang mengekalkan tanah mereka sebagai kawasan pengeluaran makanan juga perlu diberi perhatian.

“Saya menyokong usaha mempertahankan kawasan jelapang padi daripada terus hilang kepada pembangunan. Tetapi pewartaan tanah mestilah datang bersama jaminan ekonomi kepada pesawah dan pemilik tanah.

“Sekiranya tanah mereka perlu dikekalkan sebagai sawah demi kepentingan strategik negara, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab memastikan pengorbanan tersebut tidak menyebabkan mereka terus miskin di atas tanah sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan negeri mengadakan libat urus secara langsung dengan pesawah serta pemilik tanah sebelum sebarang keputusan berkaitan pewartaan kawasan jelapang dibuat.

“Suara mereka mesti didengar. Jangan apabila negara memerlukan beras, kita bercakap mengenai kepentingan pesawah. Tetapi apabila pesawah bercakap mengenai kos, hutang dan pendapatan mereka, suara mereka tenggelam,” katanya.

Nurul Syazwani berkata, usaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras negara tidak boleh hanya tertumpu kepada isu keluasan tanah sawah kerana keseluruhan ekosistem pengeluaran padi perlu diperkukuh.

“Tanah sawah tidak menghasilkan padi dengan sendiri. Di belakang setiap hektar sawah ada pesawah yang perlu menyara keluarga.

“Jika kerajaan benar-benar mahu meningkatkan kembali SSR negara, mulakan dengan memastikan menjadi pesawah masih mampu memberikan kehidupan yang bermaruah dan pendapatan yang munasabah.

“Selamatkan pesawah, barulah kita boleh menyelamatkan jelapang padi dan keterjaminan makanan negara,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button