Ubah imej petugas media jadi haiwan: KMP buat laporan polis dan MCMC
PUTRAJAYA – Kelab Media Putrajaya (KMP) memandang serius dan mengecam tindakan sebuah akaun media sosial yang mengubah imej sekumpulan jurugambar dan wartawan ketika menjalankan tugas membuat liputan Tun Dr Mahathir menziarahi pusara Allahyarham di Pusara Negara, Putrajaya menjadi imej haiwan.
KMP berkata, lebih mengecewakan apabila imej berkenaan disertakan kapsyen “Akal waras semakin sukar ditemui” yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.
“KMP ingin menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan.
“Pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita,” menurut kenyataan itu.
KMP berkata, kehadiran pengamal media di lokasi berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mendokumentasikan peristiwa penting kepada masyarakat dan negara.
Menurutnya, hak setiap individu untuk mengkritik perlu dihormati, namun kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media.
“Sebarang teguran hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar.
“Tindakan mengubah imej petugas media menjadi haiwan adalah sesuatu yang biadap, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, KMP memaklumkan satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
KMP turut menegaskan akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa penghinaan atau serangan peribadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








