Insentif pesawah, bantuan diesel tingkat produktiviti sektor agromakanan
KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mempertingkat insentif pesawah serta bantuan diesel disifatkan mampu memberi impak positif kepada produktiviti sektor agromakanan, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, penambahbaikan tersebut adalah tepat pada masanya dalam mendepani cabaran krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan negara.
Menurut kementerian itu, penghargaan dizahirkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan atas keprihatinan dalam menambah baik bantuan kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pengguna diesel yang layak.
“Peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 amat signifikan, khususnya dalam membantu hampir 200,000 pesawah mengurangkan kos operasi.
“Selain itu, kesinambungan insentif penuaian mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan turut bersetuju menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan ini.
Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan itu membabitkan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi di seluruh negara.
KPKM berkata, inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.
“Bantuan ini membantu meringankan beban kos bahan api yang meningkat dan memastikan kelangsungan aktiviti pertanian serta pengeluaran makanan negara.
“Langkah melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian juga merupakan pendekatan pragmatik yang memudahkan operasi pengusaha sektor agromakanan tanpa kekangan birokrasi,” katanya lagi.
KPKM akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan lancar dan mencapai sasaran ditetapkan.
“KPKM kekal komited menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








