BERITA SEMASA

Malaysia–Vietnam meterai MoU perkukuh keterjaminan makanan – Mohamad Sabu

HANOI – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Vietnam bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Beliau berkata, lawatan itu membuahkan hasil apabila kedua-dua negara berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi.

Menurutnya, dalam pertemuan bersama rakan sejawat Vietnam, Trinh Viet Hung, Malaysia turut menekankan usaha membuka lebih banyak peluang pasaran bagi produk tempatan.

kpkm ke vietnam
Untuk rekod, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM12.64 bilion pada tahun 2025, melibatkan pelbagai produk makanan dan komoditi utama.

“Kita melihat potensi besar untuk memperluas eksport produk seperti berasaskan ayam, telur cecair dipasteur, produk itik, sarang burung walit serta makanan haiwan peliharaan.

“Langkah ini penting untuk memperkasa industri tempatan agar terus berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kedua-dua negara turut memberi fokus kepada kerjasama sektor perikanan mampan khususnya dalam bidang akuakultur yang dilihat berpotensi besar di rantau ASEAN.

“Kerjasama ini mampu meletakkan Malaysia dan Vietnam sebagai peneraju dalam amalan perikanan lestari,” katanya lagi.

Mohamad berkata, kerjasama strategik itu amat penting dalam menghadapi cabaran global termasuk krisis bekalan makanan, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi.

“Usaha ke arah pemodenan pertanian serta penggunaan teknologi perlu diperkasa bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan Vietnam sebagai rakan strategik utama Malaysia, khususnya sebagai antara pengeksport beras terbesar kepada negara ini.

“Saya berharap hubungan erat ini akan terus menjamin bekalan beras yang stabil serta harga yang berpatutan untuk rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM12.64 bilion pada tahun 2025, melibatkan pelbagai produk makanan dan komoditi utama.

Pada akhir lawatan, beliau turut menjemput delegasi Vietnam untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

“Insya-Allah, segala usaha ini adalah bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan terjamin,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button