BERITA SEMASA

Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen seliter

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 21 Oktober.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga baharu RON97 tanpa subsidi ditetapkan pada RM5.10 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM4.62 seliter.

“Harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter, manakala harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) terus ditetapkan pada RM2.05 seliter,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut MOF, penurunan harga bahan api itu dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan perkembangan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau yang mula menunjukkan tanda pemulihan.

“China membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau, sekali gus membantu meredakan tekanan terhadap bekalan,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan konflik yang semakin meluas di Asia Barat, termasuk serangan di Arab Saudi minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum.

Sehubungan itu, ketidaktentuan harga minyak dijangka berterusan dalam jangka sederhana, walaupun bekalan bahan api negara ketika ini masih mencukupi.

Kerajaan turut menjangkakan perbelanjaan subsidi bahan api mencecah RM40 bilion tahun depan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, bagi melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan pasaran global.

MOF turut menggesa orang ramai supaya menggunakan bahan api secara berhemat, termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button