Malaysia terus diperkukuh sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa – Zambry
KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa menerusi pengantarabangsaan universiti, mobiliti pelajar dan akademik, kerjasama penyelidikan serta jaringan strategik dengan negara luar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu bagaimanapun tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini.
Sebaliknya, katanya, pengantarabangsaan pendidikan tinggi perlu membentuk ekosistem yang lebih global supaya mahasiswa tempatan mendapat pendedahan antarabangsa, manakala institusi pengajian tinggi negara mempunyai jaringan lebih luas di peringkat dunia.
“Pengantarabangsaan bukan sekadar soal angka atau berapa ramai pelajar antarabangsa yang datang ke Malaysia.
“Ia adalah tentang membina ekosistem pendidikan tinggi yang benar-benar global supaya mahasiswa kita mempunyai pendedahan antarabangsa, universiti kita mempunyai jaringan yang lebih luas dan Malaysia semakin dikenali sebagai destinasi pendidikan tinggi yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan kepada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia. Turut bersama secara dalam talian ialah kakitangan di Education Malaysia (EM) di luar negara.

Menurut Zambry, Education Malaysia (EM) turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pendidikan tinggi Malaysia, membina jaringan serta membuka lebih banyak peluang kepada institusi dan mahasiswa tempatan di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah ASEAN University Games (AUG) yang dijadual berlangsung pada Disember ini.
Zambry turut menyempurnakan simbolik penyerahan obor AUG sempena larian obor sebagai sebahagian daripada persiapan menuju temasya berkenaan.
Beliau berkata, AUG bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya menjadi platform menghimpunkan mahasiswa dari seluruh ASEAN selain memperkukuh persahabatan dan semangat keserantauan.
“Ini juga sebahagian daripada wajah pengantarabangsaan pendidikan tinggi, membawa Malaysia ke dunia dan pada masa sama membawa dunia ke kampus-kampus kita,” katanya.
Zambry berkata KPT akan terus memperkukuh jenama Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi global dengan mengangkat kekuatan akademik, penyelidikan, inovasi, budaya serta pengalaman mahasiswa yang berkualiti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








