KEMENTERIAN PERTAHANAN

Malaysia, China perkukuh kerjasama pertahanan melalui Aman Youyi 2025

KUALA LUMPUR – Hubungan pertahanan antara Malaysia dan China terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Latihan Ketenteraan Bersama Aman Youyi 2025 (EX AY25) yang berlangsung dari 15 hingga 23 Oktober ini.

Menurut Markas Angkatan Bersama (MAB) dalam satu kenyataan, penganjuran latihan itu menggambarkan kepercayaan serta kerjasama yang semakin erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China hasil hubungan ketenteraan yang berterusan.

“Sebahagian besar latihan ini akan dijalankan di Selat Melaka, salah satu laluan perairan terpenting di dunia, sekali gus memperlihatkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan serta kestabilan di kawasan strategik berkenaan,” kata kenyataan itu.

Majlis pelancaran rasmi EX AY25 disempurnakan bersama oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang mewakili ATM, dan Mejar Jeneral Dai Bin mewakili PLA.

Latihan berkenaan melibatkan lebih 1,000 anggota tentera daripada kedua-dua negara meliputi elemen darat, laut dan udara, selain turut disertai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi menjayakan aspek latihan bantuan bencana.

EX AY25 dilaksanakan di beberapa lokasi utama termasuk Pusat Latihan SMART di Puchong, Subang, Pelabuhan Klang, serta di perairan Selat Melaka dengan tumpuan kepada Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) dan Keselamatan Maritim (MARSEC).

Selain itu, latihan turut merangkumi Pertukaran Pakar Bidang (SMEE) yang memberi ruang kepada perkongsian pengetahuan dalam operasi amfibia dan udara antara kedua-dua pihak.

MAB menjelaskan, pelaksanaan latihan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan bersama ATM dan PLA, tetapi juga memperteguh konsep keselamatan komprehensif, kerjasama dan mampan dalam usaha mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button