14.2 juta rakyat berdaftar MyDigital ID, rekod 82.75 juta transaksi
KUALA LUMPUR – Seramai 14.2 juta rakyat Malaysia sudah berdaftar dengan MyDigital ID setakat 7 Oktober lalu, dengan sistem pengenalan digital itu merekodkan 82.75 juta transaksi log masuk sejak diperkenalkan pada 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MyDigital ID turut dilengkapi ciri Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) bagi memperkukuh keselamatan identiti digital pengguna.
“Mekanisme itu mewajibkan pengguna melalui lebih daripada satu tapisan pengesahan sebelum akses diberikan, sekali gus mengurangkan risiko kebocoran data, penipuan, penyamaran dan kecurian identiti ketika menggunakan perkhidmatan dalam talian,” memetik BH online.
Menurutnya, sistem berkenaan turut menggunakan pelbagai mekanisme keselamatan kriptografi, termasuk Prasarana Kunci Awam (PKI), bagi memastikan kerahsiaan dan integriti identiti digital rakyat terus dilindungi.
“PKI ialah piawaian keselamatan menggunakan kriptografi bagi mengesahkan identiti pengguna dalam sesuatu transaksi serta melindungi maklumat dan data daripada diakses atau diubah suai tanpa kebenaran,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai mekanisme keselamatan kriptografi MyDigital ID dan statistik pendaftaran menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penggunaan MyDigital ID kini melebihi 200,000 transaksi sehari, didorong peluasan integrasi sistem itu dengan lebih 200 aplikasi dan perkhidmatan digital sektor kerajaan serta swasta.
“Kerajaan juga merancang penambahbaikan jangka panjang termasuk persediaan penggunaan teknologi Kriptografi Pasca Kuantum (PQC) bagi menghadapi ancaman keselamatan siber berkaitan perkembangan komputer kuantum.
“Persediaan itu dilaksanakan menerusi pendekatan crypto-agility, iaitu keupayaan sistem untuk beralih kepada algoritma kriptografi baharu secara terancang, selaras perkembangan piawaian antarabangsa dan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi),” katanya.
Beliau turut berkata, kerajaan kekal komited memastikan keselamatan dan perlindungan identiti digital rakyat terus terpelihara, selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap penggunaan perkhidmatan dalam talian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








