Malaysia ungguli destinasi rawatan global
KUALA LUMPUR – Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai hab pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa apabila dinobat sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia oleh firma global, Nomad Capitalist yang berpangkalan di Dubai.
Kejayaan menewaskan negara seperti Singapura dan India itu membuktikan standard perkhidmatan kesihatan Malaysia diiktiraf di peringkat dunia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan itu didorong kepakaran tenaga perubatan tempatan, kualiti rawatan bertaraf antarabangsa dan layanan mesra berasaskan nilai murni rakyat Malaysia.
“Pada tahun 2023, sektor pelancongan kesihatan berjaya menjana pendapatan melebihi RM2 bilion hasil daripada kunjungan kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari serata dunia, terutamanya dari rantau Asia.
“Malaysia kini dinobatkan sebagai destinasi nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau menjelaskan, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur serta rakan strategik yang bersama-sama mengangkat imej Malaysia sebagai destinasi rawatan pilihan di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda nasional ini,” tambahnya.
Dr. Dzulkefly menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkukuh sektor kesihatan bagi memastikan manfaat berterusan kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.
“Kita tidak akan berhenti di sini. KKM komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan, serta memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelas beliau.
Pengiktirafan itu memperkukuh usaha kerajaan dalam memposisikan pelancongan kesihatan sebagai salah satu sektor strategik negara yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara mampan dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








