BERITA SEMASA

Pemeteraian sempadan maritim Malaysia-Indonesia ambil kira nasihat, pandangan pakar maritim negara

PUTRAJAYA – Pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia ditandatangani setelah mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip pembatasan sempadan maritim.

Triti tersebut merupakan hasil proses rundingan selama 18 tahun yang melibatkan aspek-aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dan dibuat berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh bagi menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim.

Kedua-dua triti tersebut dimeterai setelah mengambil kira nasihat dan pandangan pakar-pakar maritim negara, iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

Pasukan itu diterajui Wisma Putra dan dianggotai agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

“Kali terakhir Triti seumpama ini dimeterai antara Malaysia dan Indonesia adalah pada 53 tahun yang lalu iaitu Triti 1970,”

“Pemeteraian kedua-dua triti ini merupakan satu ‘milestone’ kepada Malaysia dan Indonesia,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi persetujuan yang dicapai, Triti Selat Melaka menetapkan garisan sempadan laut wilayah Malaysia dan laut wilayah Indonesia adalah di kawasan paling selatan Selat Melaka.

Garisan sempadan tersebut menghubungkan Titik-titik 8A, 8B dan 8C sebagai sambungan kepada Titik 8 yang merupakan titik penghujung kepada garisan sempadan yang telah dipersetujui antara kedua-dua negara pada 17 Mac 1970 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Triti Laut Sulawesi pula menetapkan sempadan separa laut wilayah antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi berdasarkan garis sempadan menghubungkan Titik-titik M, B1, B, C dan P.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button