Kerajaan dedah butiran kontrak perolehan secara terbuka mulai tahun depan – Anwar
KUALA LUMPUR – Semua kontrak perolehan kerajaan, khususnya projek pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya, akan dilaksanakan secara telus dengan maklumat penting didedahkan kepada umum mulai tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan disokong tadbir urus yang baik, selain membendung ketirisan dan menjamin ketelusan dalam pengurusan kontrak.
Menurut beliau, maklumat yang boleh diakses orang ramai merangkumi pihak yang memenangi kontrak, nilai projek, syarikat yang dilantik, tahap kemajuan pelaksanaan serta alasan pemilihan kontraktor berbanding pesaing lain.
Katanya, keterbukaan itu perlu diperluas sehingga ke peringkat tempatan bagi membolehkan masyarakat memantau projek pembangunan di kawasan masing-masing dan memastikan wang awam digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
“Mulai tahun depan, setiap kontrak membina sekolah, hospital, universiti mahupun jalan raya mesti dibuat secara telus.
“Rakyat boleh tahu siapa yang menang, berapa jumlahnya, syarikat mana yang dapat, kos dan tahap kemajuannya, serta sebab syarikat itu dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini. 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Anwar memberikan contoh pembinaan sekolah baharu di Tumpat yang membolehkan penduduk setempat menyemak maklumat projek dan menilai sama ada kontraktor yang dilantik melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketirisan akibat rasuah sebelum ini menyebabkan berbilion ringgit wang negara yang sepatutnya disalurkan kepada sektor pendidikan dan kemudahan rakyat terjejas.
Sehubungan itu, golongan muda khususnya mahasiswa digesa menjadi suara hati nurani masyarakat dengan berani menentang ketidakadilan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pada masa sama, Anwar membuka ruang kepada peserta untuk menegur kelemahan pentadbiran, termasuk berkaitan kebersihan dan pendigitalan, selain mengemukakan cadangan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata, kerajaan bersedia mendengar pandangan golongan muda kerana teguran dan cadangan yang dikemukakan secara membina mampu membantu memperbaiki kelemahan sedia ada.
Anwar turut menegaskan kerajaan tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara mahasiswa, malah komited meminda atau memansuhkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat mengehadkan kegiatan mereka.
“Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana mempunyai idea atau kritikan, termasuk jika pimpinan mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin muda, sama ada yang sedang memegang tanggungjawab mahupun bakal menerajui negara pada masa hadapan, supaya menjadikan integriti, kerja keras dan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat sebagai asas kepimpinan.
Menurutnya, usaha membina negara yang lebih baik memerlukan kesediaan untuk mengakui serta memperbaiki kelemahan sendiri, selain memastikan setiap tindakan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Mengulas penyertaan pelajar antarabangsa, Anwar berkata, Malaysia mahu memastikan pelajar dari luar negara berasa selesa sepanjang tempoh pengajian sehingga menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.
Beliau berharap pertemuan itu dapat memperkukuh persefahaman antara golongan muda daripada pelbagai negara, sekali gus membina kerjasama yang memberi manfaat kepada masa depan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








