Anwar pilih kekal kerjasama dengan BN demi kestabilan negara
MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memilih untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.
Menurut beliau, pendirian tersebut dibuat walaupun wujud pelbagai spekulasi serta perkembangan politik semasa yang menyaksikan BN dikaitkan dengan usaha membentuk kerjasama baharu bersama Perikatan Nasional (PN).
“Itu pilihan saya. Pilihan mereka, biar mereka jawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan MADANI meminggirkan negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
Sebaliknya, beliau mendakwa pernah menerima bantahan daripada beberapa pemimpin UMNO berhubung keputusan kerajaan menyalurkan peruntukan dan bantuan kepada negeri-negeri diterajui PN.
“Rakan-rakan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu banyak menegur saya. Ramai juga rakan dalam UMNO yang menegur.
“Mereka kata kepada saya, ‘Anwar, ini dasar yang salah. Kenapa bantu?’,” katanya lagi.
Menurut Anwar, terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan meluluskan bantuan dan peruntukan pembangunan kepada negeri seperti Kelantan dan Terengganu walaupun atas keperluan rakyat.
Beliau turut berkata, bantuan kerajaan tidak boleh diputuskan berdasarkan perbezaan politik, sebaliknya perlu disalurkan mengikut keperluan rakyat dan pembangunan negeri.
Sebelum itu, Anwar berulang kali menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama kepada semua kerajaan negeri tanpa mengira fahaman politik demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








