Pempengaruh diingatkan tidak eksploitasi isu 3R demi kandungan
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial diingatkan supaya tidak mengeksploitasi isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya ritual keagamaan, sebagai bahan kandungan sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran berkata pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan serta menyebarkan nilai positif kepada masyarakat, bukannya memainkan sentimen 3R.
“Kalau boleh, jauhkan perkara-perkara yang melibatkan 3R. Ini kerana pempengaruh mungkin tidak tahu tentang ritual agama atau adat kaum tertentu, lebih-lebih lagi kalau anda bukan penganut agama berkenaan.
“Kita mempunyai banyak perkara positif yang boleh dipromosikan bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, hari ini.
Yuneswaran telah diminta mengulas isu tular membabitkan seorang pempengaruh yang dipercayai terlibat dalam upacara keagamaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Menurutnya, kementerian memandang serius isu berkenaan dan berharap perkara itu ditangani secara berhemah, selain menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Masyarakat diminta supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman atau mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menyelesaikannya dengan segera,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau mempelawa pempengaruh media sosial untuk bekerjasama dengan KPN dalam mempromosikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Program Negara Bangsa.
“Di bawah KPN, kami menyarankan supaya perkara-perkara ini (3R) dielakkan. Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, kita boleh menghadiri pelbagai upacara, majlis dan sambutan namun, apabila melibatkan ritual, saya berharap perkara itu dihormati,” katanya.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung hantaran tular membabitkan seorang individu dipercayai beragama Islam yang didakwa menyertai ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








