POLITIK

Kuasai empat bahasa, Ahli Parlimen Segamat perhebat bantu kempen PH di Johor

SEGAMAT – Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran memanfaatkan kelebihan menguasai empat bahasa bagi membantu memperkukuhkan kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Menteri Perpaduan itu berkata, penguasaan bahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris sejak di bangku sekolah membolehkannya berinteraksi dengan lebih berkesan bersama masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Menurut beliau, kelebihan tersebut memudahkannya menyampaikan mesej parti serta dasar kerajaan kepada pengundi daripada pelbagai latar belakang.

“Ini adalah satu kelebihan untuk kita berkomunikasi dengan masyarakat berbilang kaum dan menyampaikan mesej dengan lebih tepat,” katanya selepas mengadakan siri Ziarah Kasih di kawasan Parlimen Segamat hari ini.

Mengulas mengenai peluang PH pada PRN kali ini, beliau berkata, momentum sokongan terhadap gabungan itu dilihat semakin positif berbanding pilihan raya negeri terdahulu.

“Rakyat kini lebih menilai kemampuan calon serta prestasi kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dalam aspek kebajikan rakyat, pengurusan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Johor agar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian dengan memilih calon yang mempunyai rekod perkhidmatan baik, kepimpinan berwibawa dan komitmen untuk membela rakyat.

Yuneswaran turut berharap pembangunan di Johor Utara terus diberi perhatian sekiranya PH diberi mandat mentadbir negeri tersebut.

Menurutnya, kawasan berkenaan masih memerlukan pelbagai kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh Johor.

“Johor Utara memerlukan pembangunan yang sangat penting. Kita melihat beberapa projek seperti Segamat Inland Port yang diaktifkan semula, perkhidmatan tren elektrik ETS dan projek berkaitan pengangkutan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berpandangan penyertaan sulung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang mewakili Perikatan Nasional pada PRN Johor tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi India terhadap PH.

“Kebanyakan pengundi lebih mengutamakan faktor kestabilan politik, pembangunan serta keupayaan calon dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button