Polis buka kertas siasatan terhadap Puad Zarkashi
JOHOR BAHRU – Polis telah membuka kertas siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi media sosial selepas menerima sebanyak 153 laporan polis di seluruh negara setakat jam 3 petang hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua daripada laporan tersebut dibuat oleh seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor masing-masing pada jam 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari.
Menurut beliau, jumlah laporan yang diterima dijangka terus meningkat berikutan perhatian orang ramai terhadap isu berkenaan.
“Setakat jam 3 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang melibatkan perbuatan mempunyai kecenderungan menghasut, selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegentaran dalam kalangan masyarakat.
Ab Rahaman turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat serta memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








