Bekas Exco Agama Johor keluar UMNO, bakal bertanding PRN di bawah tiket PN
MUAR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Pengumuman itu dibuat dalam sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh hari ini yang turut dihadiri Pengerusi BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai Exco Agama Johor dari 2013 hingga 2018 berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Beliau turut mengesahkan akan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurutnya, keputusan untuk kembali bertanding dibuat selepas menerima desakan dan permintaan daripada pengundi di kawasan berkenaan yang mahu beliau terus mewakili mereka.
“Pengundi di Layang-Layang sering bertanya mengapa tiada calon Melayu diketengahkan oleh parti-parti yang bertanding, sedangkan komposisi pengundi Melayu di kawasan itu hampir 60 peratus.
“Saya sebenarnya sudah penat, tetapi atas rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan para pengundi yang meminta saya terus berkhidmat, saya mengambil keputusan untuk bertanding sekali lagi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Abd Mutalip yang pernah menjadi ADUN Layang-Layang selama dua penggal menegaskan penghijrahannya ke BERSATU bukan berpunca daripada rasa kecewa atau permusuhan terhadap UMNO.
Sebaliknya, beliau menyifatkan parti politik hanya sebagai platform untuk berkhidmat kepada rakyat dan keputusan yang diambil adalah demi meneruskan perjuangan serta kebajikan masyarakat.
“Saya tiada sebarang isu dengan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kami masih berkawan dan tiada paksaan atau perasaan benci.
“Kita bukan mahu menunjukkan siapa yang lebih baik, tetapi berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat. Dengan semangat Maal Hijrah, kita berhijrah jika terdapat platform yang lebih baik untuk berkhidmat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








