Momentum sokongan bukan Melayu kepada PH semakin meningkat – Dzulkefly Ahmad
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad mendakwa sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan itu semakin meningkat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dzulkefly Ahmad yang juga bekas ADUN Kota Iskandar berkata, perkembangan itu dilihat khususnya dalam kalangan pengundi Cina dan India yang disifatkannya semakin menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini.
Katanya, keadaan berbeza ketika PRN Johor pada Mac 2022 apabila peratusan keluar mengundi rendah berikutan negara ketika itu masih berdepan kesan pandemik COVID-19.
“Sepanjang kempen yang kita adakan, momentum sokongan masyarakat Cina dan India kepada Pakatan Harapan dilihat semakin meningkat.
“Mungkin mereka mempunyai kesedaran kerana pada PRN ke-15 yang diadakan pada Mac 2022, ketika itu pandemik dan kadar keluar mengundi hanya 50.6 peratus,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas berkempen di sini hari ini.
Baca juga : Perumahan rakyat mampu milik jadi keutamaan PH di Johor – Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly berkata, mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri perlu datang daripada jumlah pengundi yang lebih besar bagi memastikan kerajaan yang dibentuk benar-benar mencerminkan kehendak rakyat.
Katanya, kadar keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus adalah sasaran munasabah bagi memastikan kerajaan negeri memperoleh mandat lebih kukuh daripada Bangsa Johor.
Dalam pada itu, beliau menegaskan politik berasaskan identiti kaum perlu ditinggalkan kerana pembangunan Johor perlu digerakkan secara bersama melibatkan semua kaum.
Katanya, konsep Bangsa Johor yang merangkumi masyarakat Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain perlu menjadi asas kepada perpaduan serta kemajuan negeri.
“Politik yang berasaskan identiti perkauman perlu ditinggalkan. Membuat pembelaan kepada kaum-kaum tertentu sahaja adalah politik lama.
“Kita adalah Bangsa Johor, kita sayangkan Johor dan kita perlu membangun serta maju bersama antara Melayu, India dan Cina,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pengundi, tanpa mengira latar belakang, supaya keluar mengundi pada hari pengundian kerana setiap undi mempunyai peranan dalam menentukan masa depan negeri.
“Undi parti mana itu perkara nombor dua, tetapi yang penting ialah keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















