BERITA SEMASA

PRN Johor: Puad Zarkashi sahkan tidak pertahan DUN Rengit

BATU PAHAT – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.

Beliau berkata, keputusan itu telah dibuat sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor kira-kira dua minggu lalu.

Menurutnya, faktor usia menjadi sebab utama beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanding.

“Ketika ini saya berusia 69 tahun dan jika diberikan mandat untuk satu lagi penggal, saya akan berumur 74 tahun pada penghujung tempoh tersebut. Pada pandangan saya, usia sedemikian tidak lagi sesuai untuk bertanding di kerusi DUN.

“Sudah tiba masanya golongan lebih muda diberi peluang untuk memimpin negeri dan meneruskan agenda pembangunan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau turut memberikan sokongan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terus diberi ruang untuk memimpin barisan generasi baharu dalam menghadapi PRN kali ini.

Malah, beliau berpandangan calon yang bakal diketengahkan sewajarnya terdiri daripada individu berusia 50 tahun ke bawah, selain mempunyai kelayakan akademik, akhlak yang baik, komitmen tinggi terhadap perjuangan parti dan memahami hala tuju masa depan bangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa tugasan penting akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum proses penamaan calon berlangsung.

“Sepanjang lebih empat tahun menjadi wakil rakyat yang sentiasa berada di kawasan, saya berpeluang mengenali hati nurani dan keperluan rakyat Rengit,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Rengit, penjawat awam, ketua-ketua kampung serta masyarakat Cina yang banyak memberikan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas perkenan melantik beliau sebagai Speaker DUN Johor.

Beliau juga menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas nasihat dan bimbingan yang diberikan bagi memastikan perjalanan persidangan DUN Johor sentiasa berlangsung dengan tertib dan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button