POLITIK

PRN Johor: PAS negeri fokus kawasan berpotensi dimenangi

PETALING JAYA – PAS Johor menyasarkan untuk bertanding lebih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Portal FMT yang memetik Pesuruhjaya PAS Johor,  Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai berkata, parti berkenaan memberi fokus kepada kawasan yang berpotensi dimenangi, berdasarkan kekuatan sokongan di negeri itu daripada menyasarkan bertanding di kerusi yang banyak.

“PAS Johor sedia 100 peratus hadapi PRN, khususnya di kawasan yang kita nak tanding. Kita yakin mampu tambah kerusi di Johor selain berusaha kekalkan satu DUN (Maharani) yang telah dimenangi dalam PRN lalu.

“Kita tak pilih banyak kerusi, tetapi kita nilai ikut kemampuan, kekuatan dan peluang kawasan yang mampu menang,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.

Beliau turut memaklumkan kerjasama antara parti dalam gabungan Perikatan Nasioanl (PN) termasuk BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di Johor, cukup baik dalam menghadapi PRN secara bersama sebagai satu pasukan.

Ditanya sama ada PAS sedia bekerjasama dengan pihak selain PN, termasuk kumpulan Gerakan Reset yang diasaskan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Mahfodz berkata, perkara itu selari dengan hasrat mereka untuk memperkukuh penyatuan ummah.

“Hasrat kita, PAS, sebagaimana ditegaskan Presiden Hadi Awang, adalah untuk teruskan usaha penyatuan ummah antara parti-parti Melayu dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

“Sebab itulah kalau boleh bukan setakat dengan Bersatu sahaja, kita nak kerjasama dengan semua, sama ada kumpulan Reset (Hamzah), Pejuang dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) jika mempunyai dasar perjuangan yang selari dan bergantung kepada persetujuan PAS Pusat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button