BERITA SEMASA

DHPP gesa henti manipulasi ucapan MB Kedah, utamakan keharmonian rakyat

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menggesa semua pihak menghentikan manipulasi terhadap ucapan Menteri Besar Kedah berhubung ungkapan “Cina ada China, India ada India” yang dipetik dan ditafsirkan di luar konteks sehingga mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Ketua DHPP Pusat, Kumaresan BK berkata, kenyataan tersebut tidak seharusnya disalah tafsir seolah-olah merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan warganegara Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, di mana masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain merupakan sebahagian daripada rakyat negara ini yang mempunyai hak sama untuk hidup, bekerja serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Sebarang perbezaan pandangan hendaklah dibincangkan secara matang dan berlandaskan fakta, bukannya dijadikan bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman dan perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu beliau turut berpandangan bahawa desakan supaya pihak berkuasa menyiasat atau mengambil tindakan berdasarkan petikan kenyataan yang didakwa telah ditafsirkan secara tertentu perlu dipertimbangkan secara bertanggungjawab dan tidak dipengaruhi kepentingan politik.

Menurut beliau, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggugat keharmonian masyarakat yang telah sekian lama dipupuk.

Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen DHPP untuk terus memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama serta mempertahankan prinsip bahawa Malaysia adalah milik bersama semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Pada masa sama beliau turut menyeru semua pihak supaya menghentikan budaya memutarbelitkan kenyataan demi kepentingan politik sempit, sebaliknya mengutamakan perpaduan, saling menghormati dan kepentingan rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button