BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bau busuk menyengat, pencemaran najis babi: PAS desak ladang babi Tanjung Sepat ditutup segera

KUALA LANGAT – Bau busuk menyengat dan aliran sisa kumbahan berwarna hitam yang dipercayai berpunca daripada ladang ternakan babi menjadi antara pemandangan yang disaksikan kepimpinan PAS Pusat dan PAS Selangor ketika turun padang ke Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Kunjungan itu dibuat bagi melihat sendiri tahap pencemaran sungai dan laut yang didakwa berpunca daripada pelepasan sisa najis babi secara terbuka daripada ladang-ladang penternakan di kawasan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehadirannya ke kawasan itu adalah untuk meninjau sendiri masalah yang dihadapi penduduk selain menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu ladang-ladang babi di Tanjung Sepat ditutup segera.

Menurutnya, meskipun dimaklumkan hanya kira-kira 30 peratus ladang babi masih beroperasi susulan wabak virus tahun lalu, kesan pencemaran dan bau yang terhasil masih memberi ketidakselesaan serius kepada penduduk setempat.

“Kita difahamkan sebelum ini terdapat 114 kandang babi dengan jumlah ternakan mencecah ratusan ribu ekor. Walaupun sebahagiannya sudah tidak beroperasi, kesannya masih cukup ketara dan tidak selesa kepada penduduk,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memaklumkan akan memindahkan industri penternakan babi ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka mula beroperasi pada 2030.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai langkah jangka masa panjang menangani isu pencemaran, wabak penyakit dan menjaga keharmonian masyarakat di kawasan penternakan sedia ada di Kampung Ladang Tumbuk Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Baca juga : Pemuda PAS sedia jadi benteng penduduk Hulu Selangor tolak kandang babi berpusat

babi
Ahmad Fadhli (tengah) dalam sidang media selepas menjalankan tinjauan di ladang-ladang babi di Tanjung Sepat. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati jarak ladang ternakan dengan kawasan perumahan serta masjid terdekat hanya sekitar satu kilometer, sekali gus didakwa menyalahi spesifikasi dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sistem kumbahan yang digunakan kerana mendakwa najis babi disalurkan tanpa piawaian sewajarnya, mengalir ke parit, sungai dan akhirnya ke laut, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pencemaran di perairan Selat Melaka.

“Persoalan utama ialah bilakah ladang-ladang babi ini akan ditutup sepenuhnya dengan kadar segera. Penduduk menjunjung kasih dan berterima kasih kepada Sultan Selangor kerana mengangkat isu ini demi menjamin keselesaan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan peranan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan serta Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu berkenaan dan menyifatkan reaksi kerajaan negeri setakat ini sebagai mendukacitakan.

babi
Datuk Dr Ahmad Yunus. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus berkata, kebanyakan ladang di kawasan tersebut masih beroperasi secara tradisional dengan sistem pengurusan kumbahan yang tidak teratur.

Beliau berkata, sisa kumbahan dari kolam takungan terus mengalir ke parit, sungai dan seterusnya ke laut tanpa rawatan sempurna, sekali gus tidak boleh ditoleransi oleh masyarakat tanpa mengira kaum.

“Kita mengalu-alukan pembangunan sistem penternakan babi moden yang lebih terurus. Selaras dengan titah Sultan Selangor, kerajaan negeri perlu serius menyediakan satu penempatan baharu yang lengkap dengan sistem pengurusan terbaik,” katanya.

Menurutnya, penternakan babi seharusnya dihadkan sekadar memenuhi keperluan sebagai sumber protein dan bukan untuk tujuan eksploitasi sehingga menjejaskan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menyentuh isu kematian puluhan ribu babi akibat wabak seperti demam babi Afrika sebelum ini yang didakwa tidak diuruskan dengan baik, termasuk kes pelupusan bangkai berhampiran sungai sehingga memberi kesan kepada penduduk.

Dr Ahmad Yunus berkata, pencemaran berterusan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam, malah berisiko menjejaskan sektor pelancongan serta sumber air mentah yang menjadi bekalan utama kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

babi
Penduduk Tanjung Sepat, Sreejaraman.

Dalam pada itu, seorang penduduk Tanjung Sepat, Sreejaraman, 46, berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera kerana penduduk sudah lama menanggung bau busuk dan pencemaran, selain tidak mahu kewujudan kandang babi diteruskan memandangkan masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama.

“Kami sudah lama tidak tahan dengan bau busuk yang datang hampir setiap hari, terutama pada waktu tertentu. Isu ini sudah berlarutan bertahun-tahun dan sangat menjejaskan kehidupan penduduk di sini.

“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera dan tiada lagi kandang babi beroperasi di kawasan ini,” kata Sreejaraman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button