BERITA SEMASAPOLITIK

PAS pandang serius isu pertikai Lef Jeneral berbangsa Cina

KUALA LUMPUR – Kenyataan mempertikai pelantikan Leftenan Jeneral berbangsa Cina oleh Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pandangan yang dikemukakan individu terbabit adalah pendirian peribadi yang tidak sensitif yang boleh menimbulkan keresahan berkaitan keharmonian kaum di negara ini.

“Pas komited dan menjunjung tinggi prinsip kepelbagaian kaum serta kepercayaan sebagai satu ciri unik negara ini yang harus terus dipelihara dan disemai.

“Komitmen ini telah sekian lama menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan Pas, malah turut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif parti sejak dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pelantikan Datuk Johnny Lim iaitu anak Malaysia berbangsa Cina pertama menyandang pangkat Leftenan Jeneral adalah satu pencapaian bersejarah yang seharusnya dirai oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Setiap kejayaan anak Malaysia adalah kejayaan bersama. Tiada ruang untuk perlekeh atau mempersoalkannya atas dasar perbezaan kaum atau agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan bahawa Pas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahlinya yang mencemarkan prinsip perpaduan nasional atau menjejaskan imej parti.

“Pas akan mengambil tindakan tatatertib sewajarnya jika terdapat mana-mana ahli yang melanggar peraturan dan etika sebagai anggota parti,” katanya lagi.

Terdahulu, Zaharudin Muhammad membuat hantaran di Facebook yang mempertikaikan pelantikan Johnny Lim.

Lim mencipta sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Leftenan Jeneral pertama dalam ATM dalam kalangan masyarakat Cina, sekali gus mencerminkan keterangkuman dalam institusi pertahanan negara.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button