PN kecam serangan terhadap anak Rafizi, gesa tindakan tegas pihak berkuasa
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengecam insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, tengah hari semalam.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kejadian itu merupakan perbuatan jenayah yang sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara bertamadun.
Beliau berkata, PN turut mengambil maklum kenyataan Rafizi yang menyifatkan serangan tersebut sebagai amaran supaya beliau tidak bersuara lantang dalam isu-isu tertentu.
“Jika benar telahan itu, ia mencerminkan perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.
“Perbezaan pandangan politik tidak wajar diterjemahkan kepada ancaman atau keganasan fizikal, apatah lagi melibatkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu Takiyuddin menzahirkan sokongan moral penuh PN kepada Rafizi dan keluarganya, selain mendoakan agar anak beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan trauma yang dialami.
Beliau turut menggesa rakyat agar kekal bertenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
“Kestabilan dan keamanan negara adalah tanggungjawab bersama. PN menggesa pihak polis menyiasat kejadian ini dengan segera, telus dan menyeluruh.
“Pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat bahawa keganasan, khususnya terhadap kanak-kanak, tidak mempunyai tempat di bumi Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















