POLITIK

PN milik bersama, bukan hak mutlak mana-mana parti – Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa gabungan itu bukanlah hak mutlak mana-mana parti, sebaliknya diasaskan atas semangat muafakat antara parti-parti komponennya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata PAS adalah antara parti pengasas PN, malah beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi bagi dokumen penubuhan gabungan tersebut.

“Sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN hendaklah dirujuk kepada Perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata fokus utama kini adalah menguruskan PN dengan tertib dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta negara sentiasa terpelihara.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah perbincangan mengenai kedudukan dan hala tuju gabungan pembangkang berkenaan selepas PAS mengumumkan penamatan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Isnin lalu.

Susulan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan rasa dukacita terhadap langkah PAS berkenaan dan menegaskan BERSATU akan kekal dalam PN serta memperkukuh teras perjuangan.

Bagaimanapun, semalam seramai 13 Ahli Parlimen BERSATU mendesak supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa tindakan PAS itu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan sikap Muhyiddin serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang disifatkan sebagai angkuh dan sombong.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button